Kompleks PAS Setiu

?
Iklan tanah Lot2

Jun 22, 2010

Dua Ekar Tanah Pertanian di Musnahkan, Pampasan Hanya RM500


GAMBAR- Bersama Saudara Hassan Hitam dan Ust Abdul Ghani Muda, menyantuni penduduk mangsa rampasan tanah projek kolam udang di Kampung Banggol.


GAMBAR- Antara mangsa rampasan tanah yang hadir.

SETIU- Beginilah nasib 16 peserta RTB pertanian di Kampung Banggol, Permaisuri. Setiap peserta yang yang diberikan 1 lot tanah pertanian dizaman pemerintahan kerajaan Pas Terengganu dengan keluasan 2 ekar bagi setiap lot serta telah diusahakan dengan tanaman nenas dan pelbagai sayur-sayuran yang menyumbang kepada mata pencarian keluarga bakal dimusnahkan bagi memberi laluan kepada Projek Taman Akuakultur Udang Bersepadu (i-SHARP). Sungguh hina rakyat pada pandangan pemaju. Dengan peruntukan projek RM300 juta, serta diwar-warkan akan menghasilkan udang dengan kualiti eksport bernilai RM100 juta setahun dan 1,500 peluang pekerjaan dengan 90% daripadanya dijanjikan untuk penduduk tempatan, tetapi riak-riak indah khabar dari rupa serta janji pemaju (Blue Archipelago Berhad) akan tinggal janji sudah mula kelihatan.



“RM500, kos harga baja dengan minyak motor ke kebun pun tak cukup!” Rungut Pak Su Mat, salah seorang peserta yang menjadi mangsa sewaktu saya atas kapasiti sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Projek Taman Akuakultur Udang Bersepadu (i-BANTAH) mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Banggol semalam. Malah Pak Su Mat yang tidak berpuas hati dengan sempadan kawasan projek telah menggunakan khidmat seorang juru ukur swasta untuk mengenalpasti sempadan tanahnya dan hasilnya didapati pihak pemaju telah melepasi sempadan kawasan projek yang ditetapkan dan memasuki kawasan tanahnya sejauh kira-kira 700 kaki. Ekoran dari bantahan yang dibuat, pihak pemaju telah menghentikan seketika kerja-kerja mengorek tanah yang mereka lakukan walaupun mereka telah memusnahkan pagar-pagar kebun penduduk.

Seorang lagi penduduk yang enggan dikenali merungut, “Mengikut maklumat saya, jalan di kawasan projek saja bernilai RM10 juta, tak masuk akal pampasan untuk kami cuma bernilai RM500 saja. Benar tanah kami cuma tanah LMS, tapi inilah kebun yang memberikan kami hasil menyara keluarga”

Ironinya, tanah-tanah kebun yang telah diusahakan penduduk di Kampung Banggol ini dikorek sedalam ketinggian seorang dewasa untuk diangkut ke bahagian fasa pertama projek di Kampung Nyatoh bagi kegunaan kerja-kerja tebus guna tanah.

Pertemuan dengan penduduk Kampung Banggol ini adalah antara siri pertemuan yang diatur dalam pelan awal bertindak i-BANTAH, setelah sebelum ini diadakan pertemuan dengan penduduk-penduduk yang terlibat dengan fasa I projek di Kampung Nyatoh, Permaisuri. Antara matlamat pertemuan adalah untuk memberikan penerangan berkaitan kesan-kesan alam sekitar dan sosio ekonomi ekoran perlaksanaan projek yang akan mengorbankan 3,000 ekar tanah meliputi tanah pertanian dan kawasan paya hutan gelam, disamping dalam rangka mengumpulkan maklumbalas dan aduan dari penduduk setempat. Turut hadir Saudara Hassan Hitam, Setiausaha Jawatankuasa Bertindak i-BANTAH dan Ustaz Abdul Ghani Muda, Ketua Pas Cawangan Banggol yang juga Pengerusi Kelab Veteran Pas Setiu.

Di atas tanggungjawab yang diberikan, Jawatankuasa Bertindak i-BANTAH telah merangka beberapa pelan bertindak yang telah, sedang dan akan berjalan. Kajian dan pengumpulan data telah dilakukan yang turut disertai bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM). Sekarang Jawatankuasa i-BANTAH mula bergerak memberi penerangan dan mengedarkan bahan-bahan sebarang sambil mengumpulkan maklum balas dan aduan penduduk. Ekoran dari ini, memorandum bantahan akan dirangka untuk diserahkan kepada kerajaan negeri dengan beberapa tuntutan segera;

1. Kerajaan negeri harus memberi penerangan menyeluruh status sebenar projek ini kepada rakyat termasuk risiko yang bakal dihadapi penduduk.

2. Kerajaan harus mengkaji semula Laporan Kesan Terperinci Alam Sekitar (DEIA) yang dikeluarkan kerana DEIA yang telah dikeluarkan mempunyai banyak keraguan.

“InsyaAllah kita akan bekerja supaya rakyat mendapat apa yang sepatutnya mereka berhak perolehi dan pemaju akan mendapati tidak semudah itu rakyat diperbodohkan. Tuan-tuan tidak akan bersendirian menghadapi semua ini.” Inilah komitmen kami yang dijanjikan kepada penduduk semalam.

Sehubungan dengan itu Jawatankuasa Bertindak i-BANTAH telah memutuskan gerakan penerangan kepada masyarakat secara menyeluruh sebelum rapat umum besar-besaran pada 30 Julai nanti.

Sumber : Dr. Azman bin Ibrahim (Pengerusi Badan Bertindak Membantah Projek Kolam Udang Setiu) - i-BANTAH. http://drazmanibrahim.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan