Kompleks PAS Setiu

?
Iklan tanah Lot2

Mei 30, 2010

Dewan Bedah Hospital Setiu, Ancam Nyawa Pesakit.


KENYATAAN MEDIA ISU DEWAN BEDAH HOSPITAL SETIU.

Merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Terengganu selepas mesyuarat EXCO 26 Mei lalu di mana sekali lagi beliau menyuarakan kekecewaannya kepada pihak Jabatan Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan serta kontraktor atas kegagalan Dewan Bedah Hospital Setiu Berfungsi setelah tujuh tahun siap dibina.

Setelah kenyataan pertama berhubung isu ini dikeluarkan oleh Menteri Besar Januari lalu, disusuli kenyataan kedua minggu lepas, saya melihat ada kecenderungan untuk saling tuduh menuduh apabila sesuatu projek yang dibina bermasalah atau mengalami kegagalan. Sikap menyalahkan pimpinan kerajaan negeri terdahulu (sedangkan MB sekarang adalah sebahagian pimpinan kerajaan negeri terdahulu) dan kementerian serta agensi kerajaan pusat termasuk pihak kontraktor tanpa ada sebarang langkah konkrit ke arah penyelesaian tidak akan mendapat memberi sebarang manfaat kepada rakyat. Malah rakyat akan menjadi pelanduk yang tersepit di antara gajah-gajah yang telah ‘sendawa’ kekenyangan mengaut keuntungan walaupun hakikatnya projek tersebut gagal berfungsi sepenuhnya.



Merujuk pada kenyataan Menteri Besar Januari lalu, soal serangan hama dan kebocoran bumbung dikatakan menjadi sebab kegagalan dewan bedah berfungsi, kini setelah hampir enam bulan berlalu, masalah kebocoran bumbung yang sama masih ditimbulkan serta belum Berjaya diperbaiki. Pihak pentadbiran Hospital Setiu yang dihubungi pula kelihatan cuba untuk menyembunyikan hakikat keadaan sebenar yang berlaku dari pengetahuan rakyat. Jawapan yang diberikan tidak meyakinkan malah Menteri Besar pula yang disalahkan kerana didakwa terlalu ‘boros’ mengeluarkan kenyataan tanpa mendapatkan fakta sebenar. 

Malah didakwa oleh sumber dalaman pentadbiran Hospital Setiu, Menteri Besar dikatakan cuba membina imej diri dengan cara suka mengkritik kegagalan orang lain sedangkan beliau (MB) sendiri bersikap lepas tangan. Tetapi apabila saya tekankan, apakah kenyataan Menteri Besar itu satu kesilapan dan Dewan Bedah Hospital Setiu sebenarnya berfungsi sebagaimana sepatutnya, Jawapannya, Tidak! Sekadar boleh digunakan untuk pembedahan kecil (minor surgery) sahaja. Kenapa setelah tujuh tahun siap, ianya masih tidak boleh digunakan sepenuhnya? Akhirnya pihak pentadbiran hospital mengakui, ia akibat dari terlalu banyak campur tangan politik yang sukar dijelaskan. Kenapa dalam soal projek yang melibatkan nyawa dan keselamatan rakyat, masih terdapat campur tangan politik yang memeningkan? Jangan salahkan rakyat kalau mereka sekadar bertanya, apakah projek Hospital Setiu ini juga dibina oleh kontraktor OKU (Orang Kuat Umno)?

Pas Setiu tidak berminat untuk terlibat dengan semua polemik ini malah Pas Setiu yakin tidak ada rakyat yang mahu membuang masa melayan semua kerenah ini. Kita ingin melihat Hospital Setiu yang dibina pada tahun 2000 dan dibuka pada 2003 dengan kos RM65.7 juta benar-benar boleh dimanfaatkan oleh rakyat. Semua agensi yang terlibat baik Jabatan Kerja Raya, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri Terengganu dan pihak kontraktor perlu sekali lagi duduk semeja, berbincang dan mengambil langkah penyelesaian konkrit setelah saya difahamkan mesyuarat bersama pada 13 April lalu, wakil kerajaan negeri dan pihak kontraktor tidak dijemput.

Semua pihak tidak terkecuali baik Menteri Besar, Kerajaan Negeri, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kerja Raya serta kontraktor, wajib segera mengambil tindakan yang cepat dan tepat tanpa perlu saling menunding jari ke arah satu sama lain. Hakikat yang perlu diakui, memang terdapat masalah pada struktur binaan dan kelengkapan Dewan Bedah Hospital Setiu sehingga ia gagal berfungsi sebagaimana dirancang.

Kenyataan Media Dikeluarkan Oleh : Dr. Azman bin Ibrahim (Ketua Penerangan PAS Kawasan Setiu)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan