Kompleks PAS Setiu

?
Iklan tanah Lot2

Disember 18, 2009

Bajet 1 Malaysia Hampir Di Tolak


KUALA LUMPUR: Kemenangan majoriti tipis Barisan Nasional (BN) dalam undi belah bahagian untuk meluluskan Bajet 2010 tidak akan berlaku jika semua Ahli Parlimen BN hadir di Dewan Rakyat walaupun sesi mesyuarat berlangsung hingga lewat malam.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) berkata, kehadiran Ahli Parlimen ketika sesi mesyuarat adalah satu kewajipan memandangkan mereka dipilih oleh rakyat untuk berada di Parlimen.

"Itu menjadi satu pengajaran. Kehadiran kita di Dewan adalah wajib dan kita kena sempurnakan tugas kita.



"Kita dipilih oleh rakyat untuk berada di Parlimen walaupun sampai malam. Dah dekat dua bulan kita (bermesyuarat) sampai malam, tapi tidak kisahlah kerana itu kewajipan kita," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Isnin lalu, bacaan kali ketiga Bajet 2010 diluluskan dengan majoriti tiga undi iaitu 66 menyokong daripada BN dan 63 menolak daripada pembangkang.

Turut mengambil bahagian dalam undian jam 11.15 malam itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bergegas ke Parlimen selepas menghadiri majlis makan malam sempena ulang tahun ke-90 Sekolah Menengah Chong Hwa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir di Parlimen dari majlis di ibu kota.

Mohamad berkata, bilangan Ahli Parlimen pembangkang juga tidak ramai dan mereka tidak boleh mendakwa BN tidak serius dalam isu Bajet 2010.

"Janganlah nak mengata, mereka pun tidak datang...datang untuk buat belah bahagian saja untuk gagalkan bajet," katanya.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, menegur ketidakhadiran Ahli Parlimen kerana implikasinya cukup besar pada kerajaan.

Beliau berkata, jika kerajaan tewas dalam undi belah bahagian itu, Bajet 2010 tidak akan lulus sekali gus negara tidak mempunyai perbelanjaan pada tahun depan.

"Implikasinya wang yang diperuntukkan oleh kerajaan itu tidak diluluskan, maka ia tidak boleh digunakan untuk tahun depan.

"(Gaji) kakitangan kerajaan tidak berbayar, saya Speaker tidak berbayar, gaji Perdana Menteri tak ada," katanya.

Beliau berkata, disebabkan itu juga, pilihan raya baru perlu diadakan.

Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) menafikan pembangkang bersikap kebudak-budakan dan sengaja mengambil kesempatan atas ketidakhadiran ramai Ahli Parlimen BN.

"Kita tidak mengambil kesempatan kerana perkara itu sememangnya terkandung dalam Peraturan Mesyuarat. Kita mahu menunjukkan rakyat tidak gembira dengan langkah kerajaan untuk memulihkan ekonomi.

"Kita serius dalam hal ini. Mereka yang tidak serius kerana mereka sepatutnya datang dan mengambil bahagian dalam perbahasan bajet serta menunjukkan sokongan kepada bajet yang dibentangkan Perdana Menteri," katanya.- Sumber Berita Harian 17/12/2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan