Kompleks PAS Setiu

?
Iklan tanah Lot2

Oktober 20, 2009

Ucapan Perwakilan Pas Kawasan Setiu Sempena Ijtima' Kepimpinan PAS Terengganu 2009-Cabaran Merealisasikan Tema Berubah Untuk Kemenangan Islam


Apabila membincangkan persoalan cabaran yang ada di hadapan kita untuk merealisasikan tema Ijtima' Kepimpinan PAS Terengganu ini;

Cabaran Pertama, suka saya merujuk kembali kepada laporan Jawatankuasa Postmortem Pilihanraya Umum 12 PAS Terengganu yang menyatakan, isu utama yang ada di hadapan kita ialah, sebahagian besar pengundi Terengganu masih berada di bawah cengkaman (grip) UMNO-BN. Mungkin cengkaman ini kerana wang atau projek pembangunan. Mungkin juga cengkaman dalam bentuk ancaman dan ugutan. Mungkin cengkaman kerana rakyat diselewengkan dari maklumat dan fakta yang sebenar dengan bantuan media arus perdana serta mungkin juga dengan bantuan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Cabaran yang perlu kita hadapi, bagaimana untuk kita merancang, bekerja dan bertindak bagi membebaskan rakyat dari cengkaman ini sehingga mesej perjuangan Islam yang kita dokong boleh sampai dan dinilai dengan adil oleh rakyat.

Sebagai perbandingan, As Syahid Syed Qutb ketika membahaskan konsep"Tidak ada paksaan dalam beragama" di dalam kitab 'Ma'alimu Fi Tariq' menyatakan, sebelum kita mengistiharkan kepada manusia, tidak ada paksaan bagi kamu dalam beragama, wajib kita memastikan manusia tersebut telah dibebaskan dari sebarang bentuk penjajahan, tekanan, penindasan, cengkaman dan kezaliman yang menghalang mereka dari mendengar dan menerima dakwah Islam. Setelah mereka dibebaskan dan diberikan kesempatan untuk menerima dakwah, memahami dan menilai ketinggian serta keadilan syariah Islam, barulah boleh dinyatakan kepada mereka, tidak ada paksaan bagi kamu untuk memeluk Islam. Tetapi sekiranya segala cengkaman, halangan, tekanan, kezaliman dan penindasan yang menghalang dakwah itu masih wujud, wajib bagi ummat Islam untuk bangun dan membersihkan segala halangan ini walaupun terpaksa mengangkat senjata. Dalam kontek Terengganu, saya sama sekali tidak bermaksud kita perlu mengangkat senjata untuk membebaskan pengundi Terengganu dari cengkaman UMNO.

Cabaran ke 2.
Kita perlu menampilkan imej kepimpinan yang mampu meyakinkan rakyat, bahawa kita adalah alternatif terbaik untuk mengantikan UMNO yang semakin menunjukkan tanda-tanda sakit tua yang menghampiri wafat. Apabila UMNO sakit, apabila UMNO mati, UMNO akan meninggalkan suatu ruang kosong (vacuum) dalam persada politik tanahair. Apabila wujud ruang kosong ini, maka apakah kita secara automatik akan mengisinya. Saya berpendapat tidak ada istilah 'automatic replacement' dalam politik. Rakyat tidak akan secara automatik memilih kita sekiranya kita tidak berjaya meyakinkan mereka bahawa kita mampu melakukan yang lebih baik dari arwah yang telah pergi.



Cabaran ke 3.
Menguruskan 'mood' rakyat dan membina 'public opinion' (pandangan awam) supaya rakyat nampak kelemahan UMNO-BN dan yakin dengan perubahan ke arah Islam yang dibawa oleh PAS. Era selepas PRU 12, mood rakyat berada dalam keadaan yang sangat positif untuk menyokong PAS/PR. Ditambah lagi dengan isu kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak, rasuah, pencabulan undang-undang, PPSMI, ISA dan pelbagai lagi yang menyentuh kepentingan rakyat awam secara langsung. Tidak mustahil sekiranya mood yang baik ini tidak diurus secara tepat dan penub keprihatinan, kita akan kehilangan sokongan terutama dari kalangan pengundi atas pagar.

Cabaran ke 4.
Sistem penyampaian maklumat yang kita ada masih banyak yang perlu diperbaiki. Mesej kita tidak sampai kepada massa. Di dalam politik, kita perlu menjadi baik dan perlu kelihatan baik. Menjadi baik di dalam kelompok kita sahaja, tidak mencukupi. Kebaikan dan mesej kita perlu disebarkan. Lujnah penerangan di semua peringkat perlu ambil perhatian serius tentang perkara ini. Kita masih banyak mensia-siakan bahan-bahan dan medium-medium penerangan yang diterbitkan yang tentunya memakan kos yang tidak sedikit. Buletin contohnya, kenapa dibahagikan kepada AJK Kawasan, AJK Pemuda, AJK Muslimat, AJK DUN dan AJK Cawangan. Sepatutnya sasaran edaran kita sekurang-kurangnya pengundi kategori A dan C walaupun kita perlu melakukan lebih kerja. Jentera penerangan perlu diperkasakan lagi. Dalam masa yang sama medium dan bahan penerangan yang sedia ada perlu dimanfaatkan secara optimun.

Cabaran ke 5.
Cabaran kepada ahli kita sendiri untuk berubah dalam menguruskan kerja jamaah secara konsisten dan bersedia untuk sentiasa mempertingkatkan kualiti diri supaya berkemahiran dan menguasai bidang kerja yang dipertanggungjawabkan. Di dalam kitab 'Wawasan Pemikiran Islam' Dr Yusof Al Qardhawi menulis; Yakinlah kejayaan dan kemenangan yang akan diperolehi pada masa depan ini hanyalah akan berlaku jika manusia mengikuti sunnah Allah dengan melakukan persiapan-persiapan, kerja-kerja, usaha-usaha yang bersungguh-sungguh, tabah menghadapi rintangan dan tidak mengenal putus asa. Perkara yang di luar kemampuan dan jangkaan manusia diserahkan sepenuhnya kepada Iradah Ilahi yang maha kuasa.

*Perbahasan ini telah dibentangkan oleh Dr. Azman Ibrahim mewakili PAS Kawasan Setiu Sempena Ijtima' Kepimpinan PAS Terengganu 2009.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan