Kontroversi terbaru kerajaan perpaduan dalam PAS yang menjadi bahan penulisan sensasi di Internet didakwa hasil kerja gerombolan penulis upahan Umno atau cyber trooper.
"Pada waktu ini PAS mendapati semakin banyak tuduhan liar dilontarkan oleh cyber trooper Umno yang menyamar sebagai ahli PAS atau wakil pimpinan PAS di dalam media alternatif ini," kata ketua penerangan PAS.
Idris Ahmad juga berkata, gerombolan penulis ini menggunakan isu kerajaan perpaduan PAS-Umno dan juga cadangan kontroversi Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menunjukkan parti itu kini berpecah.
Tambahnya, pemimpin-pemimpin kanan Umno pula "bersilih ganti menangguk di air keruh" dengan memberikan ulasan PAS sedang mengalami perpecahan.
"PAS mengingatkan setiap ahli agar bijak dalam membaca sebaran berita di internet khususnya dalam blog, Facebook dan juga media massa lainnya," kata Idris lagi.
"Kewujudan fitnah seolah-olah wujudnya pertemuan sulit pimpinan PAS yang pro-kerajaan perpaduan dan pro-(kumpulan) Erdogan wajar difahami ahli sebagai satu gerak kerja saraf Umno untuk memecahkan parti ini kepada dua kelompok."
Mengulas isu tersebut yang meluas diperkatakan di Internet, Exco Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz pula berkata sesetengah ahli PAS kini "berani berbohong dan memfitnah" melalui blog.
"Saya melihat sesetengah ahli PAS cukup berani di dalam berblog. Malangnya, mereka hanya berani berbohong, memfitnah dan menyebar semua kata-kata manusia dan peristiwanya.
"Lebih malang, mereka tidak berani untuk berkata benar, apatah mengakuri pada yang benar," tulis anak Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat dalam blog peribadinya hari ini.
"Jika anda gian sangat nak menulis, menulislah yang kekal baik hingga ke lubang kubur. Yang memberkati anda dan kehidupan manusia."
Dalam satu kenyataan hari ini, Idris berkata tiada sebarang pertemuan sulit pernah dilaporkan dan belum ada bukti wujudnya dua kumpulan ini melainkan individu-individu yang berbeza pandangan dengan pemimpin.
Beliau juga menegaskan tindakan disiplin akan diambil terhadap pemimpin yang mengadakan rundingan sulit dengan Umno walaupun dakwaan itu melibatkan mursyidul am, presiden dan pemimpin-pemimpin kanan parti.
"PAS yakin kerja-kerja fitnah cyber trooper Umno dan mereka yang kononnya menjadi ahli PAS tetapi bekerja untuk Umno tidak akan mati dengan sendirinya jika sebarang laporan disiplin gagal dibuat dan tiada sebarang pembuktian diserahkan kepada pihak lembaga (disiplin)," katanya lagi.
Idris turut menyeru ahli-ahli PAS agar tidak membuat ulasan terbuka mengenai perkara ini dan memberikan ruang kepada pemimpin berbincang bagi mencari punca masalah ini.
Jawatankuasa pusat PAS bersama barisan pesuruhjaya negeri akan mengadakan mesyuarat khas berkenaan isu tersebut 8.30 malam esok di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan