Kompleks PAS Setiu

?
Iklan tanah Lot2

November 25, 2009

Pas Perlu Pimpin Pakatan Rakyat (PR)


Oleh : Ahmad Munzir
Cadangan Dato’ Zaid Ibrahim selaku Pengerusi Pro-Tem Pakatan Rakyat dengan menamakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Pengerusi Pakatan Rakyat membuktikan bahawa kepimpinan PAS mempunyai kualiti dan integriti yang tinggi. Meskipun mengikut komposisi kerusi Parlimen menunjukkan PAS adalah parti yang paling sedikit kuantitinya, namun sof pimpinannya bersifat setia dan sungguh komited terhadap perjuangan. PAS seperti komponen Pakatan Rakyat yang lain juga mempunyai masalah dalaman, namun ia tidak menjejas dan mengheret pemimpin PAS kepada masalah moral yang teruk.



PAS sebuah parti politik yang paling lama hidup di Malaysia jika dibandingkan dengan parti-parti komponen PR yang lain dan mempunyai tempuhan pengalaman yang luas dalam politik Malaysia. PAS pernah berada hanya satu kerusi di Dewan Rakyat dan menjadi Ketua Pembangkang sewaktu Almarhum Dato’ Fadzil Noor memimpin Barisan Alternatif. Malah, teruji ketika bersama-sama dalam kerajaan campuran dan PAS telah menakhoda Kerajaan Negeri Kelantan selama 19 tahun. Kekuatan PAS ini diakui oleh lawan dan kawan.
Sepanjang 19 bulan Pakatan Rakyat berjuang dalam ruang semi-demokrasi negara, terlalu banyak ancaman, pergolakan dan konflik telah ditempuhi. Akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 16 November 2009, Zulkiflee Bakar iaitu seorang kolumnis telah mendedahkan sebahagian krisis yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga menjejaskan prestasi dan persefahaman Pakatan Rakyat. PKR yang ditubuhkan atas dasar prihatin segolongan rakyat terhadap nasib mantan Timbalan Perdana Menteri yang dipecat dan ruh reformasi, kini semakin hilang sinarnya. Kita masih ingat lagi, sebelum PRU Ke-12, PKR membawa tema Harapan Baru Untuk Rakyat Malaysia dan mereka menjanjikan pembentukan Kerajaan Persekutuan pada 16 September 2008. Namun, akhir-akhir ini mereka terpaksa pula mengangkat tema Menggilap Harapan Rakyat melalui konvensyen-konvensyen parti diseluruh negara. Ketua De Facto PKR juga berulang-ulang kali mengakui kesilapannya dalam memilih calon untuk PRU yang lalu sehinggalah terpaksa mengeluarkan kata dua kepada seluruh ahli dan pimpinannya. Samada setia dan komited terhadap perjuangan atau keluar meninggalkan PKR.
Para penganalisis dan pengamat politik di Malaysia mengakui bahawa semua komponen PR sukar untuk mencari titik persefahaman. Prinsip-prinsip parti sering menjadi sempadan yang jelas dalam mengemudi haluan politik yang mahu dicapai. Disamping itu, krisis kepimpinan parti yang menjadi cerminan kepada prestasi PR telah menjejaskan keyakinan dan mengaburkan harapan rakyat. Walaubagaimanapun, dicelah-celah kesamaran itu, ramai rakyat Malaysia masih lagi menaruhkan masa depan mereka dibahu Parti Islam SeMalaysia (PAS). Menyedari hakikat itu, PAS bersungguh-sungguh meletakkan satu agenda besar dalam mengemudi arus hari ini iaitu dengan tema Islam Memimpin Perubahan. Dasar dan tanggungjawab PAS untuk memartabatkan Islam di Malaysia sentiasa konsisten sejak daripada penubuhannya sehinggalah ke hari ini. Malah, PAS terlebih dahulu menawarkan tema PAS Untuk Semua dan berjaya memecahkan tembok keraguan non-Muslim terhadap mereka. Natijahnya, jumlah keahlian Kelab Penyokong Non Muslim PAS dianggarkan mencecah 20,000 orang.

Dalam keazaman itu, PAS masih dihinggapi dengan polemik-polemik kecil. Pendekatan yang PAS laksanakan seperti kes di Selangor dan Kedah seringkali disalahertikan oleh pihak luar yang sentiasa ingin mencalarkan imej dan prestasinya. Malah, jika dilihat kepada mood dan keteguhan ahli, majoriti mereka masih setuju dan menyokong perjalanan dan saf kepimpinan yang diketuai oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sejak daripada Mac 2008 hingga sekarang. Ekoran itulah, kepimpinan PAS dan ahlinya sentiasa beriltizam dalam mengingatkan sesama mereka mengenai disiplin parti dan pentarbiyyahan kerana itulah janji dan pra-syarat kemenangan Islam. Cabaran besar yang perlu ditangani segera oleh mereka pada hari ini ialah mengurus isu dan persepsi rakyat dengan baik. Dalam keterbukaan maklumat yang ada, PAS harus mempersiapkan jenteranya untuk menerangkan dasar-dasar dan pendekatan-pendekatan yang diambil oleh pimpinan mereka dengan penuh yakin dan efektif.

PKR dan DAP tidak mempunyai asas dokongan ahli yang ramai. Mereka hanya mengamalkan politik harapan dan simpati untuk meraih sokongan rakyat. Persepsi yang mereka manipulasikan hanya sekadar seketul batu yang berpasir kemudian akan licin selepas ditimpa hujan. Meskipun mereka mempunyai sebahagian barisan pemimpin yang pakar dalam bidang-bidang tertentu, namun ia belum cukup ampuh untuk menguasai hati dan pemikiran rakyat. Tambahan pula, beberapa pimpinan mereka dipalit dengan dakwaan-dakwaan negatif, krisis moral dan ketempangan integriti.

Beberapa pertembungan terbuka yang berlaku antara pemimpin PKR dan DAP telah menjejaskan reputasi PR dan memberikan impak negatif kepada pengundi. Contohnya, isu Karpal Singh yang mendakwa Anwar Ibrahim tidak layak memimpin PR, isu tuduhan Jeff Ooi terhadap seorang Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang menganggotai pertubuhan agama ekstrem dan isu cadangan Yusmadi Yusof mengenai penggiliran Ketua Menteri Pulau Pinang yang ditempelak oleh pemimpin DAPSY negeri tersebut.

Kemudian, pimpinan PKR dan DAP turut terlibat dalam beberapa kes yang sedang berjalan di mahkamah serta sedang disiasat oleh pihak polis dan SPRM sehingga mengikis kepercayaan rakyat terhadap PR dan mengancam kestabilan kerajaan negeri dibawah PR. Misalnya, ia berlaku terhadap  Anwar Ibrahim atas kes tuduhan sodomi, kes Khalid Ibrahim atas tuduhan salah guna kuasa dan dana kerajaan negeri, kes pegawai khas ADUN Pandamaran yang dituduh memalsukan invois dan pecah amanah, kes Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapten Osman Jailu kerana rasuah serta kes dakwaan terhadap Exco Selangor yang menggunakan pejabat rasmi bagi mengadakan mesyuarat kongsi gelap.

Kesemua fakta ini memberikan beban bagasi politik terhadap PR khususnya PAS. Dalam masa yang sama, pengundi sentiasa mencari alternatif terbaik bagi menolak kerajaan sedia ada. Namun, jika PR juga diselubungi dengan konflik yang berpanjangan, maka sudah tentu tekad untuk ke Putrajaya semakin luntur. PAS harus lebih bijak berperanan dan menampilkan kualiti kepimpinan yang tinggi supaya dapat menjadi qudwah kepada PKR dan DAP. Ini dapat dibuktikan apabila Lim Kit Siang sendiri turut memberikan penghormatan kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana telah membuktikan kepimpinan PAS selama 19 tahun yang penuh dengan wibawa, bersih tanpa korupsi dan rasuah. Inilah masanya PAS perlu segera memimpin Pakatan Rakyat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan