Kompleks PAS Setiu

?
Iklan tanah Lot2

April 25, 2011

Setiausaha Agung PAS Rasmi Mesyuarat Agung PAS Kawasan Setiu 33

Parti Islam Semalaysia (PAS) Kawasan Setiu InsyaAllah akan mengadakan Mesyuarat Agong Tahunan kali ke 33 pada 29 April 2011 bertempat di Masjid Lama Kampung Buluh, Bandar Permaisuri, Setiu Terengganu.

Bermula dengan majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Dato’ Haji Mustafa Ali, Setiausaha Agong PAS pada jam 3.30 petang hari tersebut, mesyuarat agong yang dijangka akan dihadiri oleh kira-kira 500 orang perwakilan dan pemerhati akan menjadi medan muhasabah penting dalam rangka persiapan PAS Kawasan Setiu bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Tentu sekali yang paling akan mencuri perhatian, bagaimana susunan kepimpinan baru PAS Setiu dipilih dan dibentuk yang boleh diistilahkan sebagai kepimpinan yang akan menerajui jentera PAS Kawasan berhadapan ujian besar PRU 13 nanti.

Menelusuri usia 33 tahun berhadapan dengan mehnah dan tribulasi perjuangan, Kawasan Setiu sebagai kawasan parlimen bongsu di negeri Terengganu tentunya tidak lagi boleh tampil sebagai anak bongsu yang manja, tetapi perlu kehadapan dengan kemulian dan kebanggaan kerana perjuangan Islam yang didokongi.

Usul-usul yang dijangka bakal dibentangkan untuk dibahaskan oleh para perwakilan di Mesyuarat Agong ini merangkumi usul pembangunan Kompleks Tarbiyah PAS Setiu, Usul Pendidikan PASTI, usul Tarbiyah dan termasuk juga usul pengukuhan organisasi, semuanya tentu sekali bermatlamatkan ke arah memperkasakan lagi bahtera perjuangan PAS Kawasan Setiu.

 
Dr Azman Ibrahim
Ketua Penerangan PAS Setiu