SHAH ALAM, 30 Jun: Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi mengisytiharkan Himpunan Bersih pada 9 Julai depan sebagai Hari Gotong Royong Perdana Peringkat Negara.
Sebelum itu, beliau menggambarkan suasana hanyir dan meloyakan dengan segala macam sampah sosial berselerakan di seluruh pelosok negara menerusi sebuah sajak khas untuk Bersih.
Antara bait sajaknya berbunyi: 'Rasuah berselerak di laman politik negara' yang menggambarkan keadaan politik yang penuh dengan kucar kacir ditambah suasana pilihan raya yang tidak adil dan bersih.
Beliau menyeru semua golongan masyarakat agar hadir dalam himpunan 9 Julai depan untuk sama-sama bergotong royong membersihkan negara dari segala kekotoran memualkan selama ini.