Kompleks PAS Setiu

?
Iklan tanah Lot2

November 14, 2009

Tiada Bai’ah Talak Tiga, Khalid Diberi Peringatan – Dato' Mustafa Ali


Kuala Lumpur, 13 Nov – Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali hari ini mengesahkan secara rasmi bahawa tidak wujud bai’ah talak tiga seperti yang digembar gemburkan oleh media mutakhir ini. Apa yang wujud hanyalah lafaz bai’ah yang bersumpah tidak akan khianat kepada parti apabila bertanding dalam pilihanraya dan sekiranya khianat akan dilaknat oleh Allah.


Mustafa ketika mengadakan sidang akhbar di ibu pejabat PAS Jalan Raja Laut hari ini membawa contoh bai’ah yang diluluskan oleh pimpinan PAS untuk dilafazkan oleh setiap ahli PAS yang ingin bertanding dalam mana-mana pilihanraya.  Selain daripada bai’ah yang beliau tunjukkan itu, pihak pimpinan PAS Pusat tidak pernah bersetuju terhadap mana-mana bentuk bai’ah yang lain.

Kandungan bai’ah yang diseragamkan untuk diucapkan oleh ahli-ahli PAS yang ingin bertanding dalam pilihanraya itu berbunyi : “Wallahi, Wabillahi, Watallahi, Bahawa saya (nama) yang diamanahkan oleh Parti Islam Semalaysia (PAS) untuk bertanding dalam pilihanraya umum ke 12 dalam kawasan pilihanraya di Dewan Undangan Negeri (nama DUN) bersumpah  dengan nama Allah bahawa samada saya menang atau saya kalah didalam pilihanraya ini, saya tidak akan mengkhianati parti dan perjuangan parti ini. Jika saya mengkhianati parti dan perjuangan ini, maka saya akan dilaknat oleh Allah, para malaikat dan sekelian para pelaknat.”
tokpa10

Mustafa menafikan wujudnya arahan bai’ah talak tiga di dalam PAS kerana tidak ada bukti yang dikemukakan. “Saya dah bertanding 9 kali pilihanraya, tidak pernah wujud bai’ah talak tiga”, ujar beliau.

Ketika ditanya tentang pengakuan terbuka ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad yang mengesahkan bahawa beliau telah membaca bai’ah talak tiga sewaktu bertanding di Shah Alam, Mustafa mengatakan bahawa itu pilihan peribadi Khalid. “Dia tak pernah bagi tahu kat kita. Itu pilihan yang dia buat berdasarkan keyakinan dia sendiri yang bukan dengan arahan kita.”, ujar Mustafa.

Setakat ini menurut Mustafa, hanya Khalid seorang yang mengaku secara terbuka melakukannya. Itu adalah “isolated case” ujar beliau. “Kita tak pernah setuju selain daripada yang standard. Itu pilihan dia sendiri walaupun kita tak setuju” kata beliau lagi.
Beliau mengaku telah menghubungi Khalid dan memberi peringatan supaya perkara tersebut tidak berulang lagi.

Mustafa seterusnya berkata bahawa selepas ini PAS akan memastikan tidak akan berlaku lagi perbuatan melafaz bai’ah selain daripada yang dikeluarkan oleh PAS Pusat untuk mengelak salah faham dan persepsi buruk terhadap PAS.  – ANN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan