Kompleks PAS Setiu

?

Ogos 10, 2011

PAS Kawasan Setiu Mensasarkan Tawan Semula 4 DUN dan Parlimen

SETIU – Pas kawasan Setiu berhasrat untuk menawan semula empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen bagi merealisasikan hasrat merampas semula pemerintahan di negeri ini.

Yang Dipertua Pas Setiu, Mohd Fauzi Muda berkata, pada realitinya Pas yakin mampu menawan dua DUN dan satu Parlimen berdasarkan kekuatan tenaga yang ada serta gerakan yang telah dilancarkan.

Malah menurutnya, pihaknya juga telah melancarkan strategi dari aspek kebajikan dan memperkenalkan konsep turun padang untuk beramah mesra dengan masyarakat berdasarkan kemampuan jentera Pas.

“Kita tidak merasakan isu pengundi tidak mahu mengundi Pas pada pilihan raya umum akan datang menjadi masalah utama kerana dasar perjuangan Pas sudah jelas dan diketahui umum bahawa kepentingan rakyat diberi keutamaan.

“Apa yang menjadi masalahnya sekarang adalah mereka (pengundi) tidak mendapat penerangan yang jelas mengenai agenda yang dibawa Pas kerana dikongkong oleh media arus perdana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan untuk anak yatim DUN Batu Rakit anjuran Hal Ehwal Wanita Batu Rakit (Halwa).

Menurutnya, setakat ini generasi muda terutama belia yang layak mengundi sudah mula menyokong Pas apabila kehadiran mereka dalam program yang dianjurkan parti semakin meningkat.

“Kita berasa sudah sampai masanya rakyat Terengganu membuat perubahan besar menukar pemerintahan sedia ada dengan kerajaan yang baru dan tiada alasan untuk mereka terus menyokong UMNO.

“Kita harap pengundi baru boleh membuat pilihan yang tepat dan yakin bahawa kemenangan akan berpihak kepada Pas sekiranya rakyat sama-sama bangkit membuat perubahan selain pertolongan Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Muslimat DUN Batu Rakit, Wan Ramlah Wan Abdul Rahman, seramai 80 anak yatim dari DUN Batu Rakit telah menerima sumbangan wang sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

“Sumbangan wang yang diterima itu adalah hasil kutipan derma daripada individu dan penyokong Pas untuk membantu insan yang kurang bernasib baik. Selain itu, program ini adalah salah satu aktiviti kebajikan di bawah Majlis Tindakan DUN,” katanya - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan