Kita ucapkan selamat menamatkan ibadat puasa yang berkat pada bulan Ramadan ini dan kita mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua muslimin dan muslimat di dalam negara kita ini khususnya, dan juga kepada umat Islam di negara lain (seluruh dunia).
Termasuklah kepada bangsa-bangsa agama lain juga kita mengharapkan mereka bergembira di dalam menyambut Aidilfitri dan mengharapkan mereka dan kita semua (orang Islam) dapat merasa betapa nikmatnya (ajaran) Islam (itu) khususnya dari sudut perpaduan, walau pun berlainan bangsa, bahasa, dan berlainan warna kulit. Tetapi (dalam menyambut Aidil Fitri) kita sangat terasa terikat oleh satu ikatan iaitu ikatan aqidah, ikatan ukhuwwah dan persaudaraan Islam.
Jadi sama-samalah kita berseru supaya Allah SWT menambahkan lagi semangat persaudaraan Islam. Walau pun di mana jua mereka (kita) berada, apa bahasa yang mereka cakapkan (tuturkan).
Seruan khusus saya kepada pejuang-pejuang Islam, sebagai salah seorang ahli parti, saya menyeru semua penyokong-penyokong parti, peminat-peminat parti supaya mereka terus terus menyalakan semangat juang dengan semangat Ramadan ini, di dalam lubuk hati dengan mengharapkan bahawa perjuangan ini adalah satu perjuangan yang suci yang dikehendaki dan dituntut oleh Allah Ta’ala.
Dan segala apa (jua) rintangan yang mereka lalui itu adalah rempah ratus perjuangan sahaja, dan bukanlah menjadi penghalang kepada (mencapai) kejayaan yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada kita. Jadi yakinlah kepada para perjuangan Islam, sesungguhnya walau pun malam itu dilihat gelap tetapi fajar akan menyinsing juga pada bila-bila masa.
Bagi mereka yang belum bersama perjuangan Islam, kita mengharapkan mereka tidak menangguh-nangguhkan waktu untuk bersama-sama (dengan perjuangan Islam) supaya kita bersama-sama mendapat ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT dan supaya kita sama-sama memberi saham dalam perjuangan ini.
Kepada mereka yang masih mahu menjadi penghalang dan penentang kepada perjuangan Islam, kita harapkan mereka boleh menggunakan ’renungan tajam’ mereka itu supaya mereka dapat (boleh) melihat sebenarnya, kebaikan Islam dan perjuangan Islam (dan) supaya berhentilah dari terus menerus menentang Islam.
Kepada orang-orang Umno, pemimpin-pemimpin Umno dan pengikut Umno supaya mereka benar-benar balik kepada agama yang mereka anuti bernama Islam. Jangan (hanya) sahaja mereka bercakap dan mengakui (diri mereka) sebagai Islam tetapi dalam waktu yang sama mereka menentang Islam.
Jadi, oleh sebab itu sudah sampai masanya kepada orang Umno supaya (dia) insaf, dia (berpatah) balik kepada agama dan jangan pakai lagi fahaman-fahaman dari luar yang datang daripada luar Islam dan balik semula kepada usul asal mereka sebagai orang Islam (yang) beramal dengan ajaran Islam.
Kepada anak-anak Terengganu di perantauan kami dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak banyak kain-kain rentang yang dipasang, secomel dan secantik yang dibentangkan oleh parti lawan, kerana kami tidak tahu dia dapat wang daripada mana, (sehingga) mereka dapat menyediakan kain rentang yang cantik, tetapi sekadar wang yang ada pada kami, (kami) buatlah kain rentang ”Selamat Pulang Perantau, Selamat Hari Raya Bersama Keluarga”. Di samping itu kami harap jangan lupakan kami sebagaimana kami tidak melupakan tuan-tuan dan puan-puan.
Maka kunjungilah kami jika tuan-tuan dan puan-puan sekalian pulang dari perantauan ke tempat sendiri untuk berhari raya. Kami adakan majlis hari raya untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian pada 3 Syawal tahun ini.
Walau pun tempat kami tidak secantik mana dan makanan tidak selazat mana tetapi sangat mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan, saudara-saudara dan saudari-saudari sekalian kerana itu sangat mengembirakan kami pada hari tersebut.
Akhukum FiLlah,
Dato' Ustaz Harun Taib
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Darul Iman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan