Kompleks PAS Setiu

?

Oktober 12, 2008

Sejarah Awal Kawasan Setiu



Gambar: Peta Mukim Daerah Setiu.

Menurut rekod Arkib Negara menunjukkan sempadan Daerah Negeri Terengganu telah berubah beberapa kali sejak lebih 50 tahun yang lalu. Dalam tahun 1921 Negeri Terengganu telah dibahagikan kepada lapan (8) daerah iaitu Kemasik, Paka, Kerteh, Dungun, Marang, Kuala Berang, Setiu dan Besut.

Pada tahun 1923 Daerah Negeri ini berubah sekali lagi tetapi masih kekal dengan lapan (8) Daerah dimana Daerah Kemaman telah diwujudkan dan Daerah Setiu dihapuskan. Namun begitu dalam tahun 1935 Daerah Negeri ini dibahagikan semula dan dijadikan sepuluh (10) Daerah yang dikenali Kemaman, Kemasik, Paka, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Hulu Terengganu, Merang, Setiu dan Besut.

Dalam tahun yang sama satu persidangan mengenai sempadan negeri telah dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tanah dan Galian Negeri Terengganu dan persidangan tersebut dikenali sebagai 'Christmas Conference' yang mana tujuanya untuk menyusun semula sempadan daerah. Hasil daripada persidangan tersebut keputusan telah dibuat seperti berikut:-

Daerah Kemaman dan Kemasik telah dicantumkan menjadi Daerah Kemaman.

Daerah Dungun dan Paka telah dicantumkan menjadi Daerah Dungun.

Daerah Merang, Batu Rakit dan Kuala Terengganu telah dicantumkan menjadi Daerah Kuala Terengganu.

Daerah Besut dan Setiu telah dicantumkan menjadi Daerah Besut.

Perubahan sempadan ini dibuat ialah kerana ketidakcekapan pentadbiran serta keluasan yang tidak ekonomik serta tidak dapat memberi perkhidmatan yang berkesan kepada masyarakat.

Dalam tahun 1980 Kerajaan Negeri telah meminta Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Tenaga Manusia, Jabatan Perdana Menteri (MAMPU) supaya membuat kajian kemungkinan kekesanan sempadan Daerah Negeri Terengganu. Hasil kajian tersebut Kerajaan Negeri telah bersetuju menubuhkan Daerah Setiu pada 1hb. Januari, 1985 dimana sebahagian daripada mukim-mukim dari Daerah Kuala Terengganu dan Besut dimasukkan ke Daerah Setiu.


PENGUJUDAN DAERAH SETIU

1 Januari 1985, adalah satu lagi tarikh bersejarah bagi penduduk negeri Terengganu, apabila sebuah lagi daerah baru yang dikenali sebagai Daerah Setiu ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Kewujudan Daerah Setiu ini telah meletakkan Negeri Terengganu kepada tujuh daerah iaitu Daerah Kuala Terengganu, Kemaman, Marang, Dungun, Besut, Hulu Terengganu dan Setiu. Daerah Setiu merangkumi 7 Mukim di bawah pentadbiran seorang Pegawai Daerah mempunyai keluasan 130,477.36 hektar dengan jumlah penduduknya seramai 33,000 orang mengikut banci 1980. Mukim-mukim yang terdapat di dalam Daerah Setiu ialah Chalok, Tasik, Hulu Setiu, Guntung dan Pantai dari Daerah Besut, Merang dan Hulu Nerus dari Daerah Kuala Terengganu.


ASAL-USUL SETIU

Terbitnya nama Setiu adalah berasal daripada nama seorang pahlawan Bugis. Peperangan antara Belanda dengan Bugis telah berlaku dalam tahun-tahun 1770-an. Dalam peperangan tersebut pihak Belanda telah mendapat kemenangan. Dengan kekalahan Bugis ini menyebabkan ramai orang-orang Bugis lari meninggalkan negeri mereka.

Antara orang-orang Bugis tersebut termasuklah Tok Setiu. Tok Setiu merupakan seorang Panglima Raja Bugis. Antara faktor yang menyebabkan beliau lari selain daripada kalah berperang ialah kerana beliau tidak mahu hidup bertuankan Belanda. Setelah beberapa lama belayar Tok Setiu dan orang-orangnya pun tiba di Terengganu. Negeri Terengganu pada masa itu di bawah pemerintahan Sultan Ahmad II iaitu Sultan Terengganu yang ke X (1875 hingga 1881).

Apabila Tok Setiu mendarat ke Terengganu, beliau pun menemui baginda Sultan Ahmad untuk memohon menumpang tinggal di Terengganu, beliau menceritakan perihal kedatangannya dan segala pahit maung semasa dalam pelayaran.

Baginda Sultan Ahmad II telah bersetuju dan perkenankan permohonan Tok Setiu dan orang-orangnya. Lalu Baginda titahkan kepada Tok Setiu supaya mencari tempat yang sesuai untuk dibuat perkampungan. Setelah meninjau kawasan-kaeasan di Negeri Terengganu, beliau telah memilih sebuah tempat dan dinamakan Kampung Bukit Tok Setiu.

Disinilah tempat Tok Setiu dan orang-orangnya berkampung dan menjalankan kerja-kerja harian mereka. Pada peringkat awal pendudukan Tok Setiu di Kampung Bukit Setiu, beliau telah dilantik sebagai Ketua Kampung. Dalam pada inilah Tok Setiu mendapat tentangan daripada Tok Itam dan orang-orangnya kerana berebut satu kawasan.

Oleh kerana tidak mendapat kata sepakat dan tolak ansur antara mereka berdua, lalu berlakulah peperangan yang amat hebat selama 7 hari 7 malam. Dalam peperangan tersebut pihak Tok Setiu hampir menerima kekalahan.

Memandangkan hal yang demikianlah Tok Setiu memohon bantuan daripada Tok Serban Kuning dari Mukim Batu Bertindan, Bukit Mahsuri. Dengan bantuan yang diberikan oleh Tok Serban Kuning maka pihak Tok Itam telah mengalami kekalahan. Kemenangan Tok Setiu telah mengukuhkan lagi kedudukanya sebagai Ketua di Kampungnya dan menyebabkan pengaruh beliau semakin kuat dan pengikutnya bertambah ramai.

Kekalahan Tok Itam telah menyebabkan anak buahnya menyimpan dendam dan mereka telah membuat batas sempadan dengan menanam suatu azimat. Tujuannya adalah untuk mencegah daripada kemasukan binatang-binatang daripada kampung lain. Ini jelas terbukti apabila seseorang yang hendak membawa masuk kerbau dan lembu dengan tujuan untuk membelanya ataupun kenduri kendara, binatang itu apabila melangkah saja ke garis sempadan tersebut terus mati. Peristiwa ini telah berlaku berulang-ulang kali.

Semasa pemerintahan Tok Setiu, beliau telah meninggalkan banyak jasa antaranya membuat tandak-tandak sungai adalah bertujuan untuk memudahkan pengaliran air dari sungai ke sawah-sawah. Pekerjaan penduduk-penduduk pada masa itu hinggalah sekarang ialah bertanam padi dan menoreh getah.

Selain daripada bertugas sebagai Ketua Kampung, Tok Setiu juga berperanan sebagai guru silat dimana ramai penduduk-penduduknya yang belajar denganya. Dikatakan bahawa persilatan menjadi pokok utama dalam kehidupan penduduk kampung Bukit Tok Setiu ialah kerana adanya satu temasya pertandingan silat.. Temasya ini telah diadakan pada tiap-tiap tahun.

Tok Setiu meninggal dunia setelah bertikam dengan adiknya disebabkan oleh fitnah dan dikuburkan berhampiran dengan rumahnya yang terletak di bawah sepohon Berangan. Pokok Berangan telah ditebang manakala batu nisan tidak dapak dikesan. Kawasan perkampungan Tok Setiu sekarang telah dipenuhi dengan pokok-pokok getah dan semak samun.

Kemasyuran nama Tok Setiu telah mendorong kepada penduduk-penduduk kampung menamakan tempat itu sebagai SETIU hinggalah sekarang menjadi satu Daerah.

Tok Setiu memainkan peranan yang besar dalam sejarah kehidupannya dan banyak jasa-jasa yang ditinggalkan oleh beliau. Hiburan seperti bersilat, Mak Yong, main gasing, berlaga kerbau turut diadakan di kampungnya.

Sejarah Penubuhan

Daerah Setiu ditubuhkan pada 1 hb. Januari 1985 hasil daripada cadangan dan perakuan Unit Pemodenanan dan Kemajuan Pentadbiran (MAMPU). Sebelum ini kawasan ini termasuk dalam pentadbiran Daerah Kuala Terengganu dan Daerah Besut.
 

MAKLUMAT DAERAH

Setiu merupakan sebuah Daerah Bongsu daripada tujuh Daerah di dalam Negeri Terengganu Darul Iman. Ditubuhkan hasil daripada perakuan Unit Pemodenan dan Kemajuan Pentadbiran (MAMPU) pada 1 Januari 1985.

Daerah baru ini mempuyai keluasan 135,905.80 hektar. Merupakan 10.49% daripada keseluruhan keluasan Negeri Terengganu Darul Iman. Bersempadan dengan Daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Besut. Terbahagi kepada tujuh buah Mukim iaitu;-

                           Mukim Hulu Nerus                     54,523.30 hektar
                           Mukim Calok                              20,589.60 hektar
                           Mukim Hulu Setiu                      23,292.90 hektar
                           Mukim Guntung                         16,348.50 hektar
                           Mukim Tasik                               5,827.10 hektar
                           Mukim Pantai                              8,499.40 hektar
                           Mukim Merang                            6,825.00 hektar



AJK BPPNT 2009